ENTRI TERBAIK

Khamis, 29 November 2012

30 JAHITAN DI KEPALA


KANGAR – Keseronokan seorang pelajar mandi-manda di sebuah taman tema air di Ayer Keroh, Melaka bertukar menjadi igauan buruk ketika bermain salah satu gelongsor air di situ.

Ibu mangsa menunjukkan tempat kesan 30 jahitan di kepala anaknya.

Akibat kejadian itu, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini, Muhammad Aiman Afzal Suhaizam, 14, mengalami pendarahan otak dan tempurung kepalanya retak selepas terjatuh pada ketinggian kira-kira empat meter dari permainan gelongsor air boomerang dalam kejadian 20 November lalu.

Mengimbau semula kejadian itu, ibu mangsa, Sharina Wahab, 39, mendakwa, dalam kejadian itu, kepala anaknya terhantuk sehingga terpaksa menerima 30 jahitan selain lebam di lutut, tangan dan tengkuk.

Dakwanya, anaknya pergi ke situ selepas mengikuti percutian selama empat hari anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis melibatkan rombongan kira-kira 80 orang terdiri daripada pelajar dan guru bermula 19 November lalu.

“Kejadian disebabkan kecuaian petugas yang menyelia permainan gelongsor tersebut apabila dia melepaskan Aiman dalam keadaan berpusing-pusing sehingga anak saya terpelanting keluar.

“Ekoran itu, Aiman terjatuh ke lantai konkrit dari ketinggian empat meter menyebabkan kepala anak saya terhantuk selain kesan lebam di lutut, tangan dan tengkuk sehingga menerima 30 jahitan,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Padi di sini semalam.

Dakwanya lagi, sebelum itu, Aiman telah meminta penyelia terbabit supaya tidak memusingkan pelampung yang dinaiki namun tidak diendahkan.

Menurut Sharina, dia kini resah dan risau apabila doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat anaknya memaklumkan yang Aiman bakal mengalami simptom pening dan sakit kepala seumur hidup.

“Kini anak saya sering mengantuk selain lesu setiap kali bangun tidur dan keadaan itu telah mengubah kehidupan anak saya yang sebelum ini ceria,” dakwanya.

Ujar Sharina, apa yang dikesalkan pihak taman rema air tersebut dan JPN Perlis mendiamkan diri selepas kejadian itu.

Sementara itu Pengarah Pelajaran Negeri, Dun Kasa ketika dihubungi menyatakan, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

Dalam pada itu di Melaka, jurucakap taman tema tersebut memberitahu, pihaknya tidak pernah lepas tangan mengenai kejadian berkenaan dan sedang menunggu laporan penuh perubatan untuk tindakan lanjut.

“Kami telah menyediakan ambulans untuk menghantar mangsa ke Hospital Melaka sebaik kejadian sebelum dia dirujuk ke HKL.

“Kes ini pertama kali berlaku sejak kami mula beroperasi pada 15 Mei 2010,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, kejadian mungkin berlaku apabila posisi badan mangsa yang ketika itu menggunakan pelampung tidak stabil sehingga dia tercampak keluar.

Rabu, 21 November 2012

MAT YO TIDAK TERSENARAI DALAM BERSAMA KELANTAN FA 2013


KOTA BAHARU – Kemungkinan Norshahrul Idlan Talah atau Mat Yo tidak lagi beraksi bersama gergasi Pantai Timur semakin menjadi kenyataan apabila nama penyerang berbisa negara itu tidak disenarai bersama Kelantan untuk musim 2013.



Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berkata persatuan itu sebulat suara bersetuju untuk tidak menyenaraikan Mat Yo buat masa ini dalam senarai 30 pemain yang akan bersama The Red Warriors musim hadapan.

“Kami ambil kira hasrat Mat Yo dan beliau telah menghantar surat untuk menamatkan kontrak secara unilateral maknanya dia sendiri yang menamatkan kontrak.

“Mengenai Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), ia bukan melibatkan kontrak tetapi berkaitan soal pemindahan pemain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perarakan Tiga Piala di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini, Selasa malam.

Pada majlis itu, kira-kira 10,000 penyokong setia The Red Warriors berkumpul untuk sama-sama merayakan kejayaan Kelantan melengkapkan kejuaraan treble apabila menjulang Liga Super dan Piala FA serta Piala Malaysia. – BERNAMA

SENARAI PEMAIN DAN STAFF KEJURULATIHAN TRW 2013



Berikut adalah senarai pemain dan staff TRW bagi sesi 2013.


Barisan Staff Kejurulatihan TRW 2013:

Ketua Jurulatih/Pengurus: Bojan Hodak
Pen.Pengurus: Wan Badri Wan Omar
S/U Agong: Hj.Azman Ibrahim
Pen. Jurulatih I: Kamarudin Muhammad
Pen. Jurulatih II: Zahasmi Ismail
Jurulatih Penjaga Gol: Ismail Chawalit
Jurulatih Kecergasan: Rueben Jude
Fisioterapi: Zainudin Zakaria
Fisioterapi: Faris Musa
Kit Man: Pok Rong


Ketua Pasukan: 16 Piya

Pen. Ketua Pasukan: 23 Indra Putra

Senarai Pemain Mengikut Nombor Jersi  


1. Shahrizan Ismail
2. Azizi Mat Ros
3. K.Nanthakumar
4. Obinna Nwaneri
5. Nik Shahrul Azim
6. Farisham Ismail
7. Zairo Anuar Zailani
8. Shakir Shaari
9.
10. NorFarhan Muhammad
11. Aziz Ismail
12. Izuan Solahudin
13. Faiz Subri,
14. Zamri Ramli
15. Daudsu Jamaludin
16. Badri Radzi
17. Rizal Fahmi
18. Khairul Izuan Rosli
19. Khairul Fahmi Che Mat
20. Keita Mandjou
21. Norhadi Ubaidillah
22. Tuan Mohd Faim
23. Indra Putra Mahayudin
24. Zairul Fitree Ishak
25. Aris zaidi
26.
27. Mijo Dadic
28. Subramaniam
29. Okine
30. Antwi



Pemain Baru

3 K. Nathakumar 
7 Zairo Anuar Zailani 
13 Faiz Subri 
20 Keita Mandjou

Pemain no 9: 3 hari lg akan diumumkan.

Senarai lengkap akan diupdated dari semasa ke semasa.

Ahad, 18 November 2012

SENARAI PEMENANG ANUGERAH INDUSTRI MUZIK 2012






Shila Amzah mengharumkan nama negara dengan menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 September lalu muncul pemenang Anugerah Lagu Terbaik menerusi lagu Patah Seribu.

Penyanyi berusia 22 tahun ini juga menguasai kategori Lagu Pop Terbaik menerusi lagu yang sama.

Berikut ialah senarai pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 mengikut kategori. Majlis penyampaian berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam malam ini.

Artis Baru Terbaik: Mojo (Andai Kau Bercinta Lagi)

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki): Jamal Abdillah (Bahagia Sementara)

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita): Jaclyn Victor (Counting Days)

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Lagu: Forteen (Seperti Dulu)

Kulit Album Terbaik: Mizz Nina/ Even Odds Sdn Bhd (Take Over)

Rakaman Album Terbaik: Nora/Rahman Ayob (Hikmah)

Video Muzik Terbaik: Yuna/Quek Shio Chuan (Sparkle)

Lagu Nasyid Terbaik: Doa (Nora)

Lagu Pop Etnik Terbaik: Kuasa Cinta (Noraniza Idris)

Lagu Rock Terbaik: Idola (Azlan & The Typewriter)

Lagu Pop Terbaik: Patah Seribu (Shila Amzah)

Lagu Hip Hop Terbaik: Aku Maafkan Kamu (Jamal Abdillah & Malique/ Malique/ Tripdizs)

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: Counting Days (Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito/ Lin Li Zhen)

Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara: Sudah Cukup Sudah (Nirwana Band)

Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu: Counting Days (Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito)

Album Terbaik: SalamMusik (Salam - Salam Musik)

Anugerah Kembara: Mizz Nina

Anugerah Sri Wirama: Alleycats

Anugerah Lagu Terbaik: Patah Seribu (Shila Amzah)


Sabtu, 17 November 2012

BOND PALING UNGGUL



Assalamualaikum dan salam sejahtera


Daniel Craig, watak James Bond paling berjaya

"NAMA saya Bond, James Bond!" Itu merupakan dialog yang cukup sinonim dengan watak perisik British yang cukup dikenali dengan nombor kod 007 dan mula diperkenalkan kepada penonton di layar perak pada 5 Oktober, 1962 menerusi siri filem sulungnya berjudul, Dr. No.

Watak James Bond yang pertama itu dilakonkan oleh aktor Sean Connery.

Sejak itu sehingga tahun lepas, sejumlah 22 buah filem James Bond muncul membina francais dengan keuntungan keseluruhan terkumpul hasil kutipan tiket tayangan di pawagam yang cukup hebat - mencecah AS$5 bilion (RM15.5 bilion).

Meneruskan legasi filem-filem James Bond yang muncul sebelumnya, tayangan perdana Skyfall diadakan pada 26 Oktober tahun ini di Eropah sebelum ia menjengah pawagam di lebih 20 buah negara termasuk Malaysia.

Ia bagaimanapun hanya mula ditayangkan di Amerika Utara (menerusi rangkaian pawagam meliputi Amerika Syarikat dan Kanada) pada Jumaat, 9 November lalu dengan hasil kutipan selama tiga hari sepanjang hujung minggu lalu iaitu sehingga Ahad, 11 November mencecah AS$88.4 juta (RM266 juta).

Kutipan itu bukan sahaja meletakkan Skyfall sebagai juara carta Top 10 Filem Pecah Panggung Amerika Syarikat tetapi juga memecah rekod sebagai filem James Bond dengan kutipan minggu pembukaan tertinggi berbanding 22 filem James Bond yang muncul sebelum ini.

Sehubungan itu, menurut studio penerbitan Skyfall, Sony Pictures, kutipan terkumpul filem itu di seluruh dunia sejak mula ditayangkan pada 26 Oktober lalu kini terkumpul mencecah RM1.56 bilion - suatu pencapaian yang amat memberangsangkan berbanding kos pembikinannya yang cuma RM602 juta.

Apa yang pasti, sejak pertama kali filem ini ditayangkan, yang menjadi tumpuan impak kejayaan Skyfall sudah tentu Daniel Craig selaku wajah dan aura utama Bond.

Craig, 44, sememangnya mantap sebagai Bond. Sementelah dia bikin gempar apabila pertama kali muncul sebagai Bond menerusi Casino Royale (2006) dengan mendedahkan tubuh sasanya dalam satu adegan dia muncul dari dalam laut.

Kelangsungan Craig untuk watak Bond diteruskan menerusi Quantum Of Solace (2008).

Namun tutur Craig, setelah tiga kali memegang watak sebagai Bond, kini tiba masanya untuk mengundur diri dan katanya, Skyfall bakal menjadi filem terakhir Bond lakonannya.

Semasa ditemu ramah dalam program temu bual The Tonight Show with Jay Leno, Craig pernah menyatakan tentang keputusannya untuk bersara daripada dunia Bond.

"Saya pernah mencuba untuk keluar daripada dunia Bond sejak dari mula pembabitan saya menjadi perisik rahsia British ini.

"Mereka bagaimanapun tidak benarkan saya pergi dan saya pula telah bersetuju untuk terlibat dalam beberapa sekuel lagi, mungkin dua. Tengok nanti sejauh mana perkara ini akan berlanjutan," jelasnya.

KEUNGGULAN Bond yang dihidupkan Daniel Craig juga hasil aura fizikal tubuh sasanya.

Siri ke-24

Ujar Craig lagi, dia sendiri berasa bangga dan bertuah menjadi Bond. Setelah mendapat skrip Skyfall, dia seolah-olah telah bersedia untuk melakukannya lagi untuk sekuel Bond yang ke-24 dan seterusnya.

Dia menegaskan watak Bond lakonannya kali ini dalam Skyfall banyak bermain dengan emosi dan tidak dinafikan tenaga fizikal yang banyak perlu digunakan.

Sebagai latihan fizikal, Craig telah menjalani beberapa latihan seni mempertahankan diri.

Pada babak awal Skyfall, Bond digambarkan sebagai jatuh dari jambatan dan perlu berada di dalam air untuk beberapa ketika.

Bagaimanapun, walaupun ketika penggambaran babak dalam air, jurulatih skuba menyatakan Craig kelihatan seronok melakukannya.

Craig bagaimanapun mengakui dia tidak berapa menggemari adegan berlari yang perlu dilakukannya.

"Saya perlu banyak berlari dalam filem ini, yang mana sememangnya saya tidak suka untuk melakukannya. Bond pada kebiasaannya akan berlari apabila memasuki sebuah bilik atau sebagainya," tuturnya.

Dalam pada itu, penerbit filem-filem Bond, Barbara Broccoli sememangnya mahu Bond sentiasa dalam keadaan basah.

Katanya, Bond dan elemen air tidak boleh dipisahkan. "Itu (dibasahi air) merupakan perkara yang pasti yang akan dilakukan oleh Craig sebagai Bond," ujarnya.

Bagi Craig pula, watak Bond kali ini sangat berbeza berbanding Bond 50 tahun sebelumnya.

"Ini kerana kali ini Bond perlu mengalami kesakitan yang agak ekstrem. Dia juga turut berhadapan dengan persoalan tentang karier dan yang dipilihnya dan skilnya sebagai sebagai perisik rahsia," jelasnya.

Pilih Rihanna

Selain Bond, daya tarikan filem ini sudah tentu karakter gadis Bond yang akan tampil silih berganti dalam setiap sekuelnya. Kali ini, dalam Skyfall, Naomie Harris dan Bérénice Marlohe diberi kepercayaan memegang watak tersebut.

Bagi Craig sendiri, semasa ditemu ramah oleh Global Grind, dia menyuarakan pendapatnya tentang gadis Bond pilihan yang mungkin akan bergandingan dengannya pada sekuel akan datang. Pilihannya tidak lain dan tidak bukan, figura seksi dan sensasi Rihanna.

"Saya rasa Rihanna lebih sesuai menjadi gadis Bond pada sekuel hadapan kelak. Ini kerana saya percaya Rihanna akan berjaya membawa watak wanita tersebut berbanding Beyonce. Mungkin bagi saya, memandangkan karakter dan rupa Rihanna yang lebih 'nakal' berbanding Beyonce," tegas Craig tentang pilihannya antara Rihanna dan Beyonce sebagai calon gadis Bond pada masa hadapan.

Mengenai filem James Bond yang ke-24, ia dikatakan bakal muncul lagi dengan misi yang lebih mencabar dalam masa dua tahun lagi.

Biarpun sebelum ini dia mengatakan Skyfall merupakan filem Bond terakhir lakonannya, namun Craig dikatakan telah termakan pujukan penerbit.

Maka, peminat setianya bakal menyaksikan semula aksi aktor sasa itu dalam naskhah Bond ke-24 yang dijadualkan untuk ditayangkan pada tahun 2014 kelak.

Ini kerana menurut penerbit bersama filem James Bond, Barbara Broccoli dan Michael G. Wilson, wajah Craig masih lagi diperlukan untuk menyambung legasi watak perisik 007 itu.

Ia disebabkan impak keterampilan dan aura perwatakannya yang amat sesuai selain sambutan memberangsangkan terhadap filem-filem lakonannya sebagai Bond.

Khamis, 8 November 2012

TARIKH KEPUTUSAN PEPERIKSAAN UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH 2012

Assalamualaikum

Info penting kepada adik-adik yang mengambil Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah untuk tahun 2012, di mana tarikh keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2012 adalah 19 November 2012 selepas pukul 10 pagi. Sila lihat gambar di bawah untuk info selanjutnya dengan lebih terperinci.


Selamat mengambil result UPSR!


IMAM MATI DIBUNUH DALAM SURAU


TANAH MERAH - Hasrat seorang warga emas untuk melaungkan azan dan mengimamkan solat Subuh di sebuah surau bertukar tragedi apabila dia ditemui mati dibunuh dalam kejadian di Kampung Gual Petai Lima, Gual Ipoh, dekat sini semalam.

Mayat Abdullah Nawang, 77, ditemui pada pukul 6 pagi oleh dua jemaah wanita yang mahu menunaikan solat Subuh di surau tersebut dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah selepas kepala mangsa disyaki dipukul dengan objek keras.


Gambar kecil, arwah Abdullah Nawang

Difahamkan, mangsa disyaki diserang oleh seorang lelaki yang mempunyai masalah mental ketika dia sedang menunaikan solat sunat sementara menunggu jemaah lain tiba. Suspek berusia 57 tahun itu pernah menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang cedera parah di kepala dan leher.

"Suspek yang pernah mengganggu penduduk sebelum ini diberkas di sebuah kedai kopi kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian pada pukul 7.30 pagi.

DIPAKSA MENGAKU MELAKUKAN HUBUNGAN SULIT DENGAN GURU


Pendang: Seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh di sini membuat laporan polis mendakwa dipaksa membuat pengakuan berzina dengan seorang guru sandaran wanita di sekolah itu. 

Laporan itu dibuat pelajar berusia 16 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, di sini, kira-kira jam 3.30 petang semalam selepas pengakuan yang dipaksa dibuatnya itu menyebabkannya menerima kesan, termasuk diberhentikan sekolah. 

Sekadar gambar hiasan

Pelajar itu yang hanya ingin dikenali sebagai Wan berkata, dia dipaksa membuat pengakuan itu kira-kira sebulan lalu ketika dipanggil ke sebuah bilik oleh guru disiplin pada 2 Oktober lalu. 

Katanya, seorang guru yang ditemui kemudian menuduhnya melakukan hubungan sulit dengan seorang guru sandaran wanita berusia 20-an yang mengajar bahasa Inggeris. Malah, guru itu turut mendakwa mempunyai bukti kukuh mengenai kejadian itu. 

Tunjuk bukti 

“Saya menafikannya dan meminta guru berkenaan menunjukkan bukti, namun guru itu enggan atas alasan ia untuk simpanan sekolah. Guru itu kemudian memberikan saya sehelai kertas dan pen lalu memaksa saya menulis surat pengakuan. 
“Akur dengan arahan itu, saya menulis surat pengakuan dalam keadaan terpaksa, walaupun tidak berpuas hati kerana berasa dianiaya atas tuduhan tanpa bukti itu. 

“Susulan itu, pihak sekolah menghubungi bapa saya dan memintanya datang ke sekolah sebelum saya dimaklumkan digantung persekolahan sehingga 15 Oktober lalu,” katanya ketika ditemui. 

Wan mendakwa, dua hari kemudian dua guru lelaki datang semula ke rumahnya memaksanya mengisi borang pertuduhan kes berkenaan. 

“Dua guru lelaki itu termasuk ustaz datang ke rumah dan mengajak saya ke sebuah kedai makan atas alasan untuk menenangkan fikiran saya. Bagaimanapun, saya tidak dibawa ke kedai berkenaan, sebaliknya diminta mengisi borang pertuduhan dan menandatanganinya sebelum dihantar semula ke rumah. 

Surat berhenti sekolah 

“Selepas itu, pada 21 Oktober lalu, saya terima surat pemberhentian daripada pihak sekolah yang bertarikh 15 Oktober. Ia amat memusykilkan kerana surat penggantungan bertarikh 4 Oktober hanya diterima pada 24 Oktober. 

“Justeru, saya tampil membuat laporan polis untuk membersihkan nama selepas berasakan diri teraniaya,” katanya. 

Sementara itu, ibu saudara pelajar terbabit yang enggan dikenali berkata, keluarganya tidak berpuas hati dengan cara pihak sekolah mengendalikan kes berkenaan kerana mereka dinafikan hak untuk mendapatkan penjelasan yang sewajarnya. 

“Saya terima jika tuduhan itu benar, namun mereka tidak memanggil keluarga berbincang dan langsung tidak menunjukkan sebarang bukti jelas serta semuanya hanya pada peringkat dakwaan,” katanya. 

Sementara itu, polis mengesahkan menerima laporan yang dibuat pelajar terbabit. Sumber[bharian]

p/s: Adoi, kes camni pun ada? Harap pihak polis siasat dan ambil tindakan dengan sewajarnya. Ketepikan sentimen nak jaga nama baik sekolah kerna berdasarkan berita diatas parah budak tu kena dengan cikgu-cikgunya.

CHEF RIZ SAH CERAI

Spekulasi mengenai status rumah tangga pelakon, Ana Dahlia, 29, dan Mohd Nadzri Redzuawan, 30, atau Chef Riz terungkai apabila bapa mentua aktres itu, Datuk Chef Wan, mengesahkan pasangan berkenaan sudah bercerai. 

Chef Riz dan Ana Dahlia

Menurut Chef Wan, anak sulungnya menjatuhkan talak atas kehendak bekas menantunya sendiri kerana tiadanya persefahaman selepas hampir setahun hidup sebumbung. 

Beliau tampil membuat kenyataan bagi menjelaskan keadaan sebenar kerana tidak mahu pelakon itu dipersalahkan berikutan wujudnya tuduhan mengatakan Ana berlaku curang. 

“Saya tidak tahu dari mana datangnya cerita Ana curang? Jadi, saya terpanggil untuk memberikan kenyataan bagi membersihkan namanya. Masyarakat tidak sepatutnya berburuk sangka kerana tuduhan itu tidak betul sama sekali. 

“Tuduhan itu satu fitnah. Saya tidak mahu Ana dan keluarganya menanggung malu akibat cerita tidak betul ini. Saya juga tidak mahu menuding jari, tetapi bagi saya kedua-duanya ada kelemahan masing-masing,” kata Chef Wan kepada HIP, ketika ditemui di Balai Berita, semalam. 

Berkahwin terlalu cepat

Chef terkemuka itu turut mengakui perkenalan singkat pasangan berkenaan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin sebagai punca perceraian. 
Sewaktu Riz menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan Ana, setelah tiga bulan berkenalan, Chef Wan akui pada mulanya dia kurang bersetuju, malah meminta anaknya memikirkan hasrat itu semasak-masaknya. 

“Saya nasihatkan Riz supaya ambil masa lebih lama untuk mengenali hati budi masing-masing, tapi dia nekad juga hendak berkahwin. Bila sudah tinggal sebumbung, barulah mereka sedar tiadanya persefahaman. 

“Jadi mereka mula mempertikaikan benda kecil dan ia kemudian melarat menjadi besar. Masing-masing pula ada ego sendiri. Semua itu menambahkan lagi kekeruhan rumah tangga. Jadi, dakwaan orang ketiga menjadi punca kepada kegoyahan rumah tangga mereka tidak betul sama sekali. 

“Saya hanya mengetahui wujudnya masalah dalam rumah tangga mereka sejak sebulan lalu. Riz beritahu, rumah tangga mereka sudah mula goyah selepas tiga bulan berkahwin. Sebagai bapa, saya hanya mampu memberikan serba sedikit nasihat, tetapi saya tidak akan mencampuri keputusan mereka.

Habis edah Disember

“Tempoh edah Ana akan berakhir Disember. Jika mereka mahu teruskan dengan perceraian ini, terpulanglah kepada mereka. Saya tidak mahu paksa kerana bagi saya, buat apa mereka hidup dalam kepura-puraan sekiranya keserasian sudah tiada? Walaupun Ana kini bukan lagi menantu saya, namun saya akan tetap menjalin hubungan baik dengannya, malah menganggap dia seperti anak sendiri,” katanya. 

Sementara itu ketika dihubungi, Ana enggan memberikan sebarang komen. 
“Saya tidak mahu komen apa-apa. Insya-Allah apabila semuanya sudah disahkan, saya sendiri akan mengeluarkan kenyataan,” katanya. 

Ana dan Riz berkenalan menerusi adik chef muda terbabit, Serina Redzuawan, dan mereka mengambil keputusan untuk bernikah pada 11 Disember 2011. Khabar angin mengenai keretakan rumah tangga mereka mula bertiup bulan lalu apabila Ana dikatakan berlaku curang. sumber[Bharian]

Jumaat, 2 November 2012

CARA MEMOHON BORANG PERMOHONAN BANTUAN RAKYAT 1 MALAYSIA BR1M 2.0

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Penulis ingin menunjukkan cara yang betul mengenai CARA MEMOHON BR1M 2.0 kepada para pembaca yang ingin memohon BR1M 2.0 tersebut. Sebelum ini, sila ketahui syarat-syaratnya untuk memastikan permohonan anda dipertimbangkan dengan sewajarnya.



Isi rumah yang layak (RM500):

(i) Warganegara Malaysia; 

(ii) Lelaki atau perempuan yang menjadi ketua kepada ahli yang tinggal serumah dengan jumlah pendapatan kasar bulanan isi rumah RM3,000 dan ke bawah.
> Berkahwin;
> Ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan berumur 20 tahun ke bawah;
> Bujang yang mempunyai tanggungan berumur 20 tahun ke bawah (dalam rumah yang sama).

(iii) Warga emas sebatang kara (berumur 60 tahun dan ke atas, lahir pada tahun 1953 dan ke bawah) dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM3,000 dan ke bawah. 

Individu yang layak (RM250):

(i) Warganegara Malaysia; 

(ii) Bujang (termasuk Balu / Janda / Duda) yang tiada tanggungan, berumur 21 tahun dan ke atas (lahir pada tahun 1992 dan ke bawah) dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM2,000 dan ke bawah.

(iii)  Tidak termasuk pelajar yang menerima Baucar Buku 1Malaysia.

(iii) Hanya pemohon yang berjaya sahaja layak menuntut bayaran.

AMBIL PERHATIAN YANG ANDA HARUS MERUJUK PANDUAN CARA-CARA MEMBUAT PERMOHONAN SECARA ONLINE UNTUK MEMASTIKAN PERMOHONAN ANDA DAPAT DIPERTIMBANGKAN DENGAN SEWAJARNYA. SILA FAHAMI DENGAN BETUL. USAH GELOJOH DAN AMBIL MASA ANDA UNTUK FAHAMI SEPENUHNYA.







p/s: sila share dengan kekawan ye