ENTRI TERBAIK

Khamis, 8 November 2012

CHEF RIZ SAH CERAI

Spekulasi mengenai status rumah tangga pelakon, Ana Dahlia, 29, dan Mohd Nadzri Redzuawan, 30, atau Chef Riz terungkai apabila bapa mentua aktres itu, Datuk Chef Wan, mengesahkan pasangan berkenaan sudah bercerai. 

Chef Riz dan Ana Dahlia

Menurut Chef Wan, anak sulungnya menjatuhkan talak atas kehendak bekas menantunya sendiri kerana tiadanya persefahaman selepas hampir setahun hidup sebumbung. 

Beliau tampil membuat kenyataan bagi menjelaskan keadaan sebenar kerana tidak mahu pelakon itu dipersalahkan berikutan wujudnya tuduhan mengatakan Ana berlaku curang. 

“Saya tidak tahu dari mana datangnya cerita Ana curang? Jadi, saya terpanggil untuk memberikan kenyataan bagi membersihkan namanya. Masyarakat tidak sepatutnya berburuk sangka kerana tuduhan itu tidak betul sama sekali. 

“Tuduhan itu satu fitnah. Saya tidak mahu Ana dan keluarganya menanggung malu akibat cerita tidak betul ini. Saya juga tidak mahu menuding jari, tetapi bagi saya kedua-duanya ada kelemahan masing-masing,” kata Chef Wan kepada HIP, ketika ditemui di Balai Berita, semalam. 

Berkahwin terlalu cepat

Chef terkemuka itu turut mengakui perkenalan singkat pasangan berkenaan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin sebagai punca perceraian. 
Sewaktu Riz menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan Ana, setelah tiga bulan berkenalan, Chef Wan akui pada mulanya dia kurang bersetuju, malah meminta anaknya memikirkan hasrat itu semasak-masaknya. 

“Saya nasihatkan Riz supaya ambil masa lebih lama untuk mengenali hati budi masing-masing, tapi dia nekad juga hendak berkahwin. Bila sudah tinggal sebumbung, barulah mereka sedar tiadanya persefahaman. 

“Jadi mereka mula mempertikaikan benda kecil dan ia kemudian melarat menjadi besar. Masing-masing pula ada ego sendiri. Semua itu menambahkan lagi kekeruhan rumah tangga. Jadi, dakwaan orang ketiga menjadi punca kepada kegoyahan rumah tangga mereka tidak betul sama sekali. 

“Saya hanya mengetahui wujudnya masalah dalam rumah tangga mereka sejak sebulan lalu. Riz beritahu, rumah tangga mereka sudah mula goyah selepas tiga bulan berkahwin. Sebagai bapa, saya hanya mampu memberikan serba sedikit nasihat, tetapi saya tidak akan mencampuri keputusan mereka.

Habis edah Disember

“Tempoh edah Ana akan berakhir Disember. Jika mereka mahu teruskan dengan perceraian ini, terpulanglah kepada mereka. Saya tidak mahu paksa kerana bagi saya, buat apa mereka hidup dalam kepura-puraan sekiranya keserasian sudah tiada? Walaupun Ana kini bukan lagi menantu saya, namun saya akan tetap menjalin hubungan baik dengannya, malah menganggap dia seperti anak sendiri,” katanya. 

Sementara itu ketika dihubungi, Ana enggan memberikan sebarang komen. 
“Saya tidak mahu komen apa-apa. Insya-Allah apabila semuanya sudah disahkan, saya sendiri akan mengeluarkan kenyataan,” katanya. 

Ana dan Riz berkenalan menerusi adik chef muda terbabit, Serina Redzuawan, dan mereka mengambil keputusan untuk bernikah pada 11 Disember 2011. Khabar angin mengenai keretakan rumah tangga mereka mula bertiup bulan lalu apabila Ana dikatakan berlaku curang. sumber[Bharian]

Tiada ulasan: