BLOG PILIHAN UTAMA PENULIS (MAI DARI BENDANG)

ENTRI TERBAIK

Selasa, 15 Mei 2012

SISTEM DAN FUNGSI TAKTIKAL DALAM BOLA SEPAK



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca..

Hari ini aku nak kongsikan entri pasal nama sistem dan fungsi taktikal dalam bola sepak. Bukan perihal formasi tapi mengenai beberapa taktikal dalam bola sepak seperti TIKI-TAKA, CATENACCIO, ANTI-FOOTBALL,  TOTAL FOOTBALL, ONE-TOUCH, PUSH AND RUN, REVIE PLAN dan FLO PASS

Apa faedahnya bila mengetahui perihal taktikal ni? Jawapannya mudah je, tidak cukup lengkap sekadar tahu nama-nama dan nombor jersi pemain dan sejarah kelab tapi tidak mengetahui taktikal yang diguna pakai oleh kelab kesayangan kita.

Jadi aku cerahkan info untuk kalian mendalami jenis-jenis taktikal yang sering digunapakai oleh kelab-kelab ternama di dunia. Enjoy!!



Tiki-taka

Tiki taka adalah istilah yang merujuk kepada gaya permainan hantaran pendek, pergerakan pasukan secara total dan mengekalkan penguasaan bola. Sistem dan taktik Tiki-taka digunakan secara efektif oleh kelab gergasi daripada Sepanyol, FC Barcelona dan skuad antarabangsa Sepanyol. Istilah Tiki-taka dimulakan oleh juruhebah sukan daripada Sepanyol, mendiang Andres Montes semasa mengulas perlawanan semasa Piala Dunia FIFA edisi 2006.



Sistem Tiki-taka berasal daripada sistem dan taktik yang diamalkan oleh skuad Belanda dan FC Barcelona era Johann Cruyff dan Rinus Michels iaitu Total Football. Walaubagaimanapun, Tiki-taka sedikit berbeza berbanding Total Football yang mementingkan pergerakan posisi pemain kerana Tiki-taka mementingkan pergerakan pasukan secara total. Namun, kadang-kala corak pemainan Total Football kerap ditampilkan dalam sistem ini apabila pemain pertahanan kerap kelihatan mengambil peranan pemain sayap dan pemain tengah.

Tiki-taka sangat sesuai diamalkan bagi pasukan yang mempunyai pemain tengah yang bersaiz kecil dan sederhana kerana corak hantaran melalui sistem ini bersifat pendek dan mudah. Sepertimana sistem Total Football, kelebihan kepada sistem ini adalah komponen-komponen pemain yang mempunyai kelajuan dan kemahiran teknikal yang tinggi. Jika Total Football mempunyai Johann Cruyff, Johann Neskeens dan Arie Hann Sepanyol juga mempunyai pemain berskil tinggi seperti Xavi, Iniesta, Cesc Fabregas, David Villa dan Silva.

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Tidak perlu disangkal lagi bahawa corak Tiki-taka memerlukan tahap stamina yang tinggi tambahan pula apabila bersaing di peringkat paling tinggi. Gaya permainan Tiki-taka mementingkan hantaran tepat yang rendah bagi menguasai permainan. Sepertimana Total Football, sistem Tiki-taka tidak bercorak counter-attack. Mereka menyerang dengan berbalas-balas hantaran sambil para pemain lain khususnya striker cuba mencari ruang bagi memudahkan seorang atau dua playmaker membuat lorongan terhadapnya.

Gaya permainan FC Barcelona sedikit berbeza dengan gaya permainan skuad antarabangsa Sepanyol. Ini kerana, FC Barcelona kerapkali menggunakan kelebihan teknikal pemain seperti Messi, Pedro dan Dani Alves untuk bergerak solo menerombos kubu lawan. Sepanyol bagaimanapun lebih mementingkan corak pemainan mudah dan lorongan-lorongan membahaya.

Gaya permainan Tiki-taka sangat menghiburkan kerana ia bersifat menyerang dan penguasaan bola secara total. Tiki-taka sebenarnya adalah adaptasi kepada semua sistem yang pernah popular sebelum ini seperti one-touch, Ravie Plan dan Push and Run namun sistem Total Football adalah paling berpengaruh terhadapnya.



Catenaccio

Istilah Catenaccio adalah istilah bahasa Itali yang membawa makna selak pintu. Sepertimana namanya, sistem ini bertujuan mengunci pergerakan pihak lawan daripada terus menyerang dan mengelak daripada sesebuah pasukan dibolosi gol. Sistem ini diamalkan secara meluas oleh pasukan antarabangsa Itali dan kelab-kelab daripada negara tersebut seperti Internazionale FC, AC Milan, Juventus, AS Roma pada era dekad 1960-an sehingga 1990-an.

Biru=defender || kuning=midfield || merah=striker


Ia diasaskan oleh seorang jurulatih Internazionale, Helenio Hererra pada 1960-an. Sistem ini dipengaruhi oleh sistem dan taktik yang diamalkan oleh jurulatih pasukan antarabangsa Austria tahun 1940-an, Karl Rappan. Taktik yang dipratikkan oleh Karl Rappan dikenali sebagai Verrou yang juga membawa maksud yang sama dengan Catenaccio.

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Sistem ini digabungkan dengan formasi asas dengan empat atau tiga posisi pemain pertahanan akan dikukuhkan dengan seorang penyapu(sweeper) di belakang posisi tersebut. Posisi sweeper turut dikenali dengan libero.

Sistem Catenaccio sangat dikaitkan dengan man-to-man marking dengan gaya yang cukup agresif. Namun, tidak semestinya gaya defensif ini tidak mempunyai gaya serangan yang bagus. Pasukan antarabangsa Itali tahun 70-an membuktikan bahawa sistem Catenaccio mempunyai mutu yang tinggi apabila mereka sering membolosi gol pihak lawan melalui penyerang dan playmaker hebat seperti Paolo Rossi. Sistem Catenaccio lazimnya digabungkan dengan taktik counter-attack dengan pemain pertahanan akan membuat hantaran panjang untuk mencari target-man yang dipertanggungjawabkan mencetak gol.

Sistem Catenoccio telah melahirkan ramai pemain pertahanan bertaraf dunia seperti Paolo Maldini, Fabio Cannavaro, Alessandro Costacurta, Alessandro Nesta, Franco Baresi, Giuseppe Bergomi, Claudio Gentile, Metarazzi dan ramai lagi.



Anti-Football

Satu-satunya taktik bolasepak dalam senarai ini yang tidak mementingkan kemenangan secara total. Frasa Anti-Football dimulakan oleh Gary Armstrong dan Richard Giulianotti pada 2001 semasa mengulas kemenangan pasukan bukan pilihan(underdog), Estudiantes de La Plata kepada pasukan gergasi, Manchester United pada Copa Intercontinental tahun 1968.

Frasa ini banyak kali digunakan oleh individu berpengaruh dalam bolasepak seperti Johann Cruyff, Lionel Messi, Frank Rijkaard dan Cesc Fabregas semasa mengulas sistem yang digunakan oleh pasukan-pasukan bawahan.

Frasa Anti-Football juga dikenali sebagai Ultra-defensive. Namun, ia tidak sama dengan sistem dan taktik yang digunakan oleh pasukan antarabangsa Itali dan kelab-kelab daripada Seria A iaitu Cantenaccio.

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Taktik ini bergantung kepada situasi dan lawan yang dihadapi. Kebiasaannya sesebuah pasukan lemah sering menggunakan taktik ini ketika menghadapi pasukan kuat. Strateginya cukup mudah iaitu sesebuah pasukan akan bermain secara bertahan untuk 90 minit tanpa cubaan untuk menyerang. Pemain di posisi serangan dan tengah akan menolong pemain pertahanan untuk bertahan secara efektif.



Total Football

Taktik hebat ini diasaskan oleh Jack Reynold semasa mengendalikan pasukan gergasi daripada Belanda, Ajaz Armsterdam pada 1915–1925, 1928–1940, dan 1945–1947. Kemudian ia diimprovisasikan oleh Rinus Michels yang juga mengendalikan Ajax Armsterdam pada era 1970-an. Michels kemudian mengaplikasikan sistem ini ke dalam skuad Belanda semasa beliau diangkat menjadi pengurus pasukan tersebut pada dekad 70-an. Komponen utama Total Football adalah lagenda Belanda iaitu Johann Cruyff.

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Konsep Total Football bertumpu kepada pergerakan pasukan tanpa mempunyai posisi yang tetap. Ini bermakna seorang penyerang tidak semestinya menjadi penyerang pada setiap masa. Bergitu juga dengan pemain pertahanan dan pemain di bahagian tengah. Pergerakan tanpa posisi yang tetap ini membuatkan pemain-pemain lawan mempunyai kekangan untuk menyekat pergerakan seseorang pemain yang menggunakan sistem ini.


One-Touch

Taktik paling lama dan paling ampuh yang telah dicipta dalam sukan bola sepak. Taktik ini mula dipraktikkan oleh skuad England. Cara permainan yang mudah dan laju telah memberi corak kepada gaya permainan Inggeris sehingga ke hari ini. Taktik ini banyak diadaptasi kemudian harinya ke dalam strategi-strategi lain. Sebagai contohnya adalah One-two atau Push and Run yang telah dibincangkan sebelum ini.

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Strategi ini perlu dipraktikkan oleh kesemua pemain dalam sistem. Pemain tidak akan membawa atau menyimpan bola terlampau lama. Setiap pemain akan segera membuat hantaran sebaik menerima bola dan bergitu juga pemain-pemain lain. Permainan kelihatan cukup mudah serta laju dan ia sangat menghiburkan.


Push and Run

Turut dikenali dengan nama one-two dan give and go. Ia diasaskan oleh jurulatih lagenda Totenham Hotspur, Artur Rowe pada tahun 1949.

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Strategi Push and Run sudah tidak asing pada hari ini. Namun pada 1940-an, ia adalah sesuatu yang baru. Strategi ini mementingkan pergerakan pemain untuk melancarkan serangan ke arah gol. Seseorang pemain hanya perlu membuat hantaran kepada rakan sepasukan dan pemain tersebut terus berlari sebaik bola dihantar. Pemainan one-two terus popular ke dalam pasukan-pasukan lain memandangkan ia mudah dipraktik dan cukup efektif.


Revie Plan

Revie Plan adalah nama taktik dan strategi yang dipraktikkan secara efektif oleh kelab Manchester City dan Hungary pada dekad 50an. Revie Plan diberikan nama sedemikian berdasarkan kepada nama penyerang prolifik Manchester City tahun 50-an, Donald George ‘Don’ Revie.

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Strategi ini bermula dengan seorang penyerang yang mempunyai kelebihan teknikal dan stamina turun jauh ke bawah untuk mendapatkan bola. Kemudian, penyerang tersebut akan membawa bola sambil pemain sayap dan rakan penyerangnya membuka ruang bagi membolehkan penyerang yang membawa bola tadi membuat hantaran atau lorongan pendek.

Pemain seperti Don Revie dan penyerang Hungary, Nándor Hidegkuti berkebolehan mempraktikkan strategi ini dengan bergitu baik sehingga mampu mengucar-kacirkan pemain pertahanan lawan dan strategi lawan.

Pada hari ini, strategi ini diinovasi oleh Manchester United, AS Roma, Real Madrid dan banyak lagi kelab lain yang mempunyai pemain berkemahiran tinggi. Wayne Rooney, Francisco Totti, Ronaldo dan Messi adalah antara pemain yang dipertanggungjawabkan melaksanakan taktik Revie Plan dalam skuad mereka wakili pada hari ini.



Flo Pass

Flo Pass diberi nama berdasarkan nama penyerang antarabangsa Norway, Jostein Flo. Strategi ini. Strategi yang kebiasaan diasaskan oleh bekas jurulatih Norway, Egil Olsen sering dikombinasikan dengan formasi 4-5-1. Seorang penyerang tunggal yang mempunyai kelebihan fizikal dan perebutan udara akan berada di bahagian pertahanan bagi mengucar-kacirkan sistem pertahanan lawan.

Bagaimana strategi ini dipraktikkan

Strategi Flo Pass bermula dengan hantaran daripada pemain pertahanan yang mempunyai kelebihan hantaran tepat. Hantaran tersebut akan disambar oleh penyerang yang mempunyai kelebihan tandukan untuk menyambar hantaran tersebut untuk mendapatkan gol.




Kecek banyak tak guna, tiket FINAL PIALA FA dah beli ke belum?

1 ulasan:

ArulchelseA berkata...

anti football bleh makan tiki taka..hehe