ENTRI TERBAIK

Jumaat, 10 Jun 2011

Entri Malam Jumaat~~Koleksi Citer Seram 3 [ 5 CITER ]

Assalamualaikum..

Terlebih dahulu aku inginkan ucapkan berbanyak-banyak maaf kepada korang semua kerna aku menghilangkan diri buat seketika di alam maya ini..Berikutan ke"bz"an, aku terpaksa berehat seketika..Apapun aku ucapkan berbanyak terima kasih kerana masih ada yang sudi berkhemah di blog yang tak hensem ini..:)

Tanpa membuang masa, adrenalin ketakutan akan menjadi pembuka bicara bisu ini..Sepatutnya entri ini semalam..tapi oleh sebab2 tertentu.ianya terpaksa ditundakan..Layan beb..


LANGSUIR


Salam sejahtera. Manusia merupakan sebaik-baik makhluk ciptaan tuhan di alam maya ini. Firman Allah s.w.t. dalam al-Quran bermaksud: "Sesungguhnya kami telah jadikan manusia sebaik-baik ciptaan". Manusia juga dikurniakan sesuatu yang tidak ada pada sebarang makhluk lain... sesuatu yang disebut sebagai akal. Namun seringkali manusia sendiri tidak tahu menghargai pemberian tersebut, lalu mempersia-siakannya.

Hari sudah melangkah ke petang. Sebaik selesai menunaikan fardhu zohor, aku bergegas ke belakang rumah. Persediaan belum aku buat, sedangkan bila-bila masa dari sekarang bapa saudaraku akan sampai. Kami sudah sepakat untuk pergi memancing di Pulau Indah. Cuti persekolahanku kali ini dimulakan dengan aktiviti yang memang aku minat semenjak kecil lagi, memancing.

"Assalamualaikum...! Lan!." Ahh.. pakcikku dah sampai. "Dah siap ke belum?", laungnya lagi.

"Waalaikumussalam. Sini pakcik! Dah siap dah."

Setelah memeriksa semua keperluan, kami berangkat meninggalkan perkarangan rumah. Empat batang joran bersama keperluannya seperti mata kail, batu ladung dan sebagainya ada kami bawa bersama.

"Kita cari umpan dalam perjalanan nanti", kata pakcik.

"Okey", kataku sepatah. "Cantekkkkk," hatiku pula bersuara.

Perjalanan melalui lebuhraya agak membosankan. Aku menghidupkan radio bagi menghilangkan suasana sunyi. Pakcik terus memandu dengan tenang.

"Yeaaa... kita bersama lagi petang ini dengan lagu pembukaan yang digilai ramai sekarang, Isabella...".

Suara juruhebah kesukaan ramai, Jond, berkumandang di udara. Aku juga salah seorang peminat setianya. Persembahannya memang hebat.

Aku melayan perasaan sendiri. Pakcikku bersiul kecil mengikut rentak lagu yang sedang berkumandang. Aku ikut terhibur.

Selang beberapa minit, pakcikku menghentikan kereta di bahu jalan.

"Ada orang jual umpan tu. Mari kita tengok."

Sebaik selesai urusan membeli umpan, kami meneruskan perjalanan. Kami hanya memerlukan lebih kurang setengah jam sahaja untuk sampai ke tempat tujuan.

Kehijauan pepohon bakau melenyapkan terus keletihan. Alangkah cerianya beburung berterbangan bebas. Terlupa seketika bahawa aku akan menduduki peperiksaan PMR tak lama lagi.

"Meh sembahyang asar dulu."

Aku mengambil wudhuk dan kami berjamaah. Selesai berdoa, kami mengambil joran masing-masing dan mula memasang mata kail. Aku yang sudah biasa dengan joran dan kail, tidak berasa kekok lagi. Semuanya aku buat sendiri.

Kelihatan beberapa orang sedang leka dengan kail masing-masing. Ada juga yang sekadar menonton.

Zuuppppp... Aku melepaskan tali pancing. Kami mula menunggu, setelah semua joran dipasang. Moga-moga kami berjaya hari ini, insya Allah.

Matahari sudah mula terbenam, namun joran kami masih belum terusik. Sesudah beberapa kali memasang umpan, hanya riak halus air yang kelihatan. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu.


Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik. Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing.

"Isy... kenapa tak ada sekor pun naik ni?", bisik hati aku. "Belum rezeki agaknya..."

Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter dari tempat aku duduk. Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air.

"Apa tu aaa...? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu." Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan.

Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan terbentuk suatu objek lain yang sesunggunya menyebabkan aku tergamam. Jelas di hadapanku, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai.

Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pakcikku yang tadi berada tidak jauh dariku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut. Lembaga tersebut menggebang-gebangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arahku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut.

Tiba-tiba aku rasa seluarku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.

"Lan! Lan oii...! Kau tengok apa tu?"

Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur. Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekelilingku. Pakcikku terus memanggil-manggil namaku.

Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya aku pengsan.

Keesokannya, aku mula sedar. Aku berada di rumah dan ibuku berada di sebelah.

"Mana pakcik?" spontan aku bersuara.

"Pakcik ada kat luar tu...", ibuku menjawab.

Aku rasa badanku lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah.

Pakcikku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.

"Kau kena sampuk semalam agaknya". Pakcikku bersuara sambil tergelak kecil.

Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya. Dia terus mengangkat semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.

Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut. Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam. Mungkin aku dah kena fobia agaknya.


PENUNGGU


Kisah ini terjadi lebih kurang 23 tahun yang lalu. Walaupun kisah ini telah lama berlalu tetapi tetap segar dalam ingatan aku. Semasa kejadian itu berlaku, aku masih bekerja di salah sebuah kilang di kampung aku, kilang ini didirikan di kawasan kebun, tetapi kawasan ni telah dimajukan untuk kawasan perkilangan. Dahulunya tanah ini adalah milik persendirian.

Pada suatu petang, lebih kurang pukul 5 seperti biasa pekerja-pekerja akan bergegas untuk pulang. Tapi pada hari tersebut agak kelam kabut kerana mengejarkan rancangan kegemaran dekat tv iaitu cerita jepun, aku pun dah lupa tajuk cerita tu. Memang cerita tu menjadi kegemaran ramai ketika itu. Dalam keadaan yang agak tergesa-gesa tu
adalah sorang minah ni terjatuh tah mana silapnya aku pun tak tau, terlanggar batu kot. Kepala minah tu terkena dekat pagar, kepalanya berdarah dan darahnya tu pulak boleh tahan jugak banyaknya mungkin kena tang urat kot aku pun tak pasti, habis merah lantai kat situ dengan kesan darahnya. Keesokan harinya, minah yang terlanggar pagar tu pegi keje, heran jugak aku takkan tak cuti, tengok pada dia yang luka tu dah nampak elok, emmm camne boleh kejap sangat elok tak tau lah, masa tu dah tengahhari kalau tak silap aku, minah yang terlanggar pagar tu tetiba menjerit-jerit macam orang kena histeria. Lama jugak dia macam tu kelam kabut jugak, orang lain ingat minah ni ada problem agaknya, kesian jugak sampai menarik-narik rambut sendiri. Pengurus kilang terpaksa menghantar minah tu pulang.

Pada keesokkan harinya pulak, kejadian menjerit-jerit ni berlaku lagi tapi pada orang lain pulak lepas sorang reda kena pada orang lain pulak. Macam pesta pulak, ada yang mengilai, ada yang menjerit, ada yang ketawa, seram pulak aku tengok perangai masing-masing nasib baik aku tak kena. Kejadian ni pulak berlarutan hampir setengah bulan, ramai yang berhenti kerja sebab takut. Kalau nak ke tandas pulak nak kena berteman, yelah takut terkunci dengan sendiri sebab pernah terjadi kat aku sebelum ni, nasib baik tak jumpa apa-apa, melaung-laung jugak la aku kat dalam tu mujur ada orang yang dengar.

Setelah diselidik rupanya ada sebab apa yang telah berlaku. Cerita ini diceritakan sendiri oleh pak guard kat tempat aku bekerja tu. Dia ada melihat satu lembaga putih terbang dari pokok saga di depan kilang dan terus menjilat pada kesan darah minah yang terlanggar pagar tu. Dan pak guard tu cerita, dulu tempat ni kebun milik seorang yang kaya kat kampung ni dan dia takut hartanya di ceroboh maka dia telah menanam tengkorak di setiap penjuru kebunnya sebagai guard la tu kot. Dan bila orang tu meninggal lupa pulak dia nak halau guard dia tu, sampai la kilang tu didirikan kat situ, kira marah la penunggu tu agaknya. Konon-kononnya lembaga tu mengamukla, mengamuk kerana apa pak guard tu pun tak berapa pasti. Tapi yang pastinya semenjak dari itu lah kejadian histeria tu terjadi. Pihak atasan tidak berapa percaya dengan perkara ni. Budak-budak yang terkena histeria tu ada cerita katanya dada mereka seolah-olah dipukul dengan kepala-kepala tengkorak tanpa henti, tu yang menjerit-jerit tu.

Dan untuk menghalau penunggu tu kata sepakat telah dibuat, maka diadakan "samak" entah apa samak tu pun aku pun tak tau. Dipanggilnya bomoh tak mana-mana punya bomoh nak halau hantu tu. Entah apa yang bomoh tu meraban aku pun tak tau, selepas daripada itu kilang aku tu pun kembali aman. Lebih kurang tu la citenye, tapi banyak yang khurafat.... tak taulah aku setakat mana kesahihan kejadian yang sebenar. 


KERETA BUSUK


Cerita ni dah lama jugak, masa tu aku tingkatan satu. Nak cerita secara detail aku pun tak berapa ingat cerita ni. Cerita yang aku nak cerita ni pun takdelah seram sangat pun, tak taulah aku kalau ada daripada pembaca yang rasa seram jugak. Masa tu aku ingat lagi kecoh kat sekolah aku pasal ada sebuah kereta Proton Saga Aeroback yang dijual dengan harga murah, tak sampai RM 500 pun. Memang murah gila, yelah mana nak dapat kereta murah macam tu dan masih baru lagi. Kereta tu second hand tapi baru je pakai beberapa bulan dan pemiliknya telah menjual pada satu kedai kereta terpakai. Tapi kereta tu takde seorang pun mahu membelinya. Heran bukan? Memang heran pun aku sendiri pun heran, mesti ada udang disebalik batu.

Sebab musabab kereta tu tak laku bukannya kerana dah tak boleh digunakan atau rosak, kereta tu masih sempurna lagi dari segi zahir dan batinnya… cewahhh. Tapiiiiiiii ni aku nak kaboo ke mung ni (terengganu pulak aku ni) bila bukak je pintu kereta tu, peeehhhh mengeluarkan satu bau yang amat busuk, masyaAllah tak taulah nak kata macammana dia punya busuk, aku rasa bau taik aku pun kalah. Memang busuk sangatlah. Itulah puncanya kereta tu tak laku. Nak ikutkan puas juga orang kedai tu bersihkan, macam-macam jenis syampu pakai tapi memang bau tu tak mahu hilang jugak.

Ceritanya macamni, aku pun ingat-ingat lupa sebenarnya. Lebih kurang macam ni la, pada suatu hari pemilik kereta asal ni balik dari kerja (nak mudahkan cerita aku bagi nama  kat pemilik ni Zues lah, senang sikit tapi bukan nama sebenar), si Zues ni balik pada hari ni agak lewat sikit, yelah banyak kerja la katakan pada hari tu. Dalam perjalanan pulang si Zues akan melalui satu tanah perkuburan, memang tiap-tiap hari dia ikut jalan tu. Tapi dah biasa agaknya si Zues ni takdelah rasa apa-apa lalu kat situ. Kebetulan selepas saja melalui tanah perkuburan tu ada seorang wanita tahan kereta si Zues ni, masa tu lebih kurang pukul 8:30 malam. Pada mulanya si Zues ni tak mahu berhenti yelah dah malam-malam macam tu, entah kenapa pulak hati dia ni tergerak pulak nak berhenti. Si Zues menekan butang auto windowsnya,

"Nak kemana ni cik adik?", tanya Zues pada wanita tu.

"Saya nak baliklah bang, dari petang tadi saya tunggu bas, takde satu pun yang lalu, kalau abang tak keberatan boleh saya tumpang?", tanya wanita tersebut pada Zues.

"Emm boleh jugak, rumah cik adik ni kat mana?", tanya si Zues lagi.

"Alaa bang tak jauh pun, dekat kawasan perumahan yang dekat dengan restoren lj tu."

"Ohhh restoren tuuuu, emm kat situ nasi lemak dia memang sedap tu, emm naiklah saya pun memang lalu tempat tu", Tanpa berlengah lagi si Zues pun membuka pintu keretanya.

Wanita tadi pun naiklah kereta si Zues. Wangi jugak, ntah minyak wangi apa entah dia pakai. Si Zues tak banyak tanya dengan wanita tu, malulah tu konon yelah boleh tahan jugak lawanya. Tak sampai satu kilometer wanita tu suruh berhenti.

"Opssss, berhenti sini bang", dengan nada yang agak kuat.

"Eh! Apsal berhenti kat sini pulak? Kan ke belum sampai lagi", Zues hairan.

"Tu ha, rumah saya", dengan menuding jari kearah satu tempat.

"Takde pun?", Zues kehairanan.

"Adalah bang, takpalah saya turun sini ye, terima kasih kerana tumpangkan saya nah ambil lah kain ni tanda terima kasih saya, simpan elok-elok ye bang jangan buang pulak simpan je kat dalam kereta ni". sambil menyerahkan sepotong kain pada Zues.

Si Zues ni pun tanpa banyak tanya dia pun terima kain tu. "Oklah, Baik-baik jalan tu" dengan agak kehairanan dengan apa yang terjadi. Si Zues ni pun baliklah rumahnya dengan kain yang diberi oleh wanita tadi. Untuk pengetahuan, si Zues ni dah berkahwin.

Keesokan harinya pula, kebetulan besok tu hari minggu si Zues ni banyak menghabiskan masa dirumah bersama keluarga. Si Zues ni biasalah dah hujung minggu ni takde keje lain dia basuh kereta la, kereta barulah katakan baru je sebulan pakai, dia basuh kereta dengan bini dia. Tengah bini dia dok vacumm dalam kereta, "Eh kain apa ni bang? Wangi je kain ni, abang keluar dengan perempuan mana pulak ni bangggg???" Zues pandang pada kain tu, dia teringat pasal wanita tu, "Takdelah Nazira, semalam masa abang balik ada sorang perempuan nak tumpang, lepas tu dia bagilah kain tu tanda terima kasih, alaaa takde apa-apalah biar jelah kat situ jangan dibuang" si Zues cuba menenangkan keadaan isterinya. "Abang jangan memain dengan saya bang" dengan keadaan yang agak marah si Nazira buang kain tu kedalam tong sampah. Si Zues membiarkan saja apa yang dilakukan oleh isterinya tu, yelah karang dilarang lain pulak jadinya (takut bini jugak mamat ni). Si Nazira ni pun terus masuk ke dalam rumah meninggalkan si Zues yang sedang memegang berus, Zeus diam tak terkata apa dengan sikap bininya tu, merajuklah tu biasalah orang perempuan cemburu, cemburu tandanya sayang tu.

Berlalulah bab tu, pada keesokannya seperti biasa si Zues ni bangun pagi dan bersiap-siap nak pergi kerja. Tengah dok nak buka pintu kereta, Zues terbau bau yang sangat busuk bau tu datang dari kereta dia, bila dibukanya pintu kereta bau tu semakin kuat pulak. Terus si Zues ni panggil bini dia, "Naziraaaa!!!! Mari cepatttt!, "Ye bang" jawab bininya "Ada apa abang panggil saya?" "Kenapa kereta ni bau busuk sangat ni? Kamu basuh macammna kereta ni semalam sampai keluar bau busuk macamni?" dengan nada yang agak tinggi. "Apa pulak bang, manalah saya tahu abang yang sudahkan basuh kereta ni semalam". "Ish macammana boleh busuk macam ni?" serba tak kena si Zues dibuatnya.

Di pendekkan cerita, Zues mengambil keputusan menjual kereta tersebut setelah puas berikhtiar menghilangkan bau pada keretanya itu. Zues telah menjual kereta itu di salah sebuah kedai kereta terpakai dekat Cheras kalau aku tak silaplah. Lama jugak kereta si Zues tersadai kat kedai tu, takde sorang pun nak beli. Emm begitulah serba sedikit ceritanya, tak taulah aku apa cerita kereta tu, tapi ada jugak terdengar cerita kereta tu dah ada orang yang beli, yang beli tu pulak aku dengar cerita orang yang ada ilmu jugak la, tah macammana dia buat kereta tu pun hilang baunya. Wallahuaklam.


POKOK KELAWAR


Pengalaman menyeramkan ini berlaku pada tahun 1991, di tingkat bawah rumah aku. Aku tidur di atas sofa panjang ruang tamu, dan memang sebenarnya itulah tempat tidur aku. Rumah aku ni ada empat bilik, tapi semuanya berpenghuni. Dengan rela hatinya aku tidur kat situ, bertemankan kucing yang hari-hari berebut sofa tu dengan aku. Dah dia pun tidur situ jugak.

Malam tu, macam biasa je, aku letak kepala sambil mulut terkumat-kamit baca doa tidur. Entah macam mana, mata aku tak rasa mengantuk sangat. Jadi, aku layan la lebih kurang. Tah sampai ke mana, tak tau la aku. Sedar tak sedar, aku rasa dah macam terawang-awang, antara tidur dan jaga, tapi aku masih sedar lagi masa tu. Kat sebelah sofa tempat aku tidur tu ada sepohon pokok plastik yang tingginya lebih kurang sama dengan aku. Pokok tu dibuat daripada akar pokok besar, dan dipasang daun plastik di sekelilingnya. Selalu aku tengok orang buat macam pokok bonsai tu. Ada banyak bunga berwarna merah di setiap hujung ranting pohon tu.

Mata aku yang semakin layu tegak memerhatikan pohon tu. Aku rasa macam tak boleh nak pejam sepenuhnya sebab bunga-bunga merah kat pohon tu mula bertukar warna kepada oren secara perlahan-lahan. Aku cuba bangun, tapi tak boleh! Cuba pulak pusing kepala, rasa macam boleh, tapi tak berpusing pun! Bunga-bunga tu pula dah berubah bentuk. Aku tak nampak bunga lagi, tapi aku nampak suatu benda kecil seperti kelawar sedang bergayut di situ. Kenal kelawar tak? Takkan tak kenal, kan. Kelawar biasa warnanya hitam, tapi kelawar ni berwarna oren. Siap dengan taringnya menyeringai ke arahku. Aku dah tak tau nak buat apa melainkan cuma terus memandang ke arah kelawar yang banyak tu. Aku cuba baca ayat kursi, tapi tak menjadi. Rasa macam dah betul, tapi tak betul. Kalau orang tengok aku masa tu, orang akan kata aku dah tidur, tapi sebenarnya aku sedar apa yang berlaku di sekeliling. Cuma aku tak boleh bertindak. Buktinya, tak lama lepas tu mak aku lalu situ. Spontan mata aku terbuka dan objek tadi bertukar menjadi bunga semula.

Aku tak tahu nak kategorikan apa cerita aku ni, tapi sebenarnya adalah kisah benar. Aku ada dengar jugak beberapa orang cerita mengatakan rumah aku tinggal tu memang agak keras. Entah, tak tahulah nak kata. Selain daripada cerita ni, ada jugak benda lain yang berlaku. Ada sekali tu aku dengar bunyi air melimpah dari bilik air atas. Aku naik, spontan bunyi tu hilang dan berpindah ke bilik air tingkat bawah pulak. Begitulah sebaliknya bila aku turun ke bawah. Aku malas cakap banyak, terus keluar naik motor. Waktu tu baru je lepas asar. Semua orang tak ada kat rumah. Adik aku pun pernah tengok pintu dapur yang berkunci terbuka sendiri. Pernah jugak aku dengar dari penghuni rumah sebelum ni ada menceritakan ada sekali dulu dia pernah ternampak hantu pocong bergolek-golek kat ruang tamu tu, lepas satu-satu macam main golek-golek pulak hantu tu. Tapi sekarang ni tak tau lah aku semenjak pindah ni macammana pulak ceritanya rumah tu sekarang. 


DIGANGGU OLEH SYAITAN

HATI saya mula rungsing. Mayat yang sedang saya mandikan menyebabkan bulu roma saya tegak, seram, seluruh badan berasa hangat serta tidak tenteram.

Bukanlah keadaan mayat yang cuma separuh sahaja itu yang sebabkan saya rasa seram, tapi ada sesuatu yang lain yang saya rasakan ada bersama-sama kami, yang mengganggu kami. Keadaan mayat tersebut memang mengerikan sebab cuma bahagian pinggang kebawah saja yang saya dan kawan-kawan saya uruskan. Mayat yang dalam lingkungan umur 30-an itu dijumpai terapung di dalam laut selepas beberapa hari dicampak ke situ. Baunya memang busuk.

Walaupun demikian sekali rupa mayat tersebut, namun ia tidak menyeramkan saya. Sudah bermacam-macam mayat yang pernah saya uruskan yang lebih dahsyat dan lebih ngeri daripada itu. Tapi mayat yang ini lain macam sedikit.

Semasa memandikan jenazah itu bulu roma saya terus tegak. Tapi saya uruskan juga sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran, khususnya ayat kursi, terus saya baca. Berdasarkan pengalaman lepas-lepas, jika begitu perasaan yang saya alami, maknanya jenazah yang saya uruskan bukanlah dari kalangan mereka yang dicintai Allah.

Apabila sudah selesai menguruskannya, kami hantar jenazah tersebut ke kawasan perkuburan.

"Encik, jangan kebumikan dulu jenazah ini, sehingga saya datang ke sini semula," pesan saya kepada penggali kubur. Saya tidak dapat turut serta kerana saya perlu menghantar dahulu juruurus jenazah wanita yang dipanggil satu jenazah.

"Insya-Allah," jawab penggali kubur tersebut. Saya tinggalkan dia tanpa memberitahu kepadanya bahawa mayat tersebut bermasalah. Bagi saya ini perkara aib, tak perlulah saya jelaskan kepadanya.

Selepas menghantar juruurus jenazah wanita, saya balik ke kawasan perkuburan tersebut. Hajatnya untuk sama-sama mengebumikan jenazah berkenaan, namun apaliba tiba di kuburnya, saya tengok ia sudah dikebumikan.

"Tak apalah ustaz. Saya dah kebumikan. Dah selesai," kata penggali kubur tersebut.

"Alhamdulillah. Tak apalah, saya balik dulu."

Namun apabila masuk sahaja ke dalam kereta, saya rasa seperti ada sesuatu yang mengekori. Seolah-olahnya mayat itu ada dalam kereta untuk mengikut saya pulang ke rumah. Perasaan seram kembali semula. Dengan serba sedikit ilmu yang saya tahu, saya cuba halau ‘benda’ itu. Namun saya tahu saya gagal dan ia mengekori hingga ke rumah kerana pada malam itu saya berperang dengannya.

Kira-kira pukul 11 malam, ketika kami sekeluarga hendak tidur, saya mula rasa lain macam. Isteri dan anak saya juga gelisah seperti ada sesuatu yang menggangguperasaan mereka. Perasaan seram kembali datang. Bulu roma saya meremang.

Satu demi satu ayat saya baca dan kemudian hembuskan hingga syaitan itu pergi meninggalkan saya. Biasanya saya gunakan surah al-Fatihah, tiga Qul, ayat Qursi, amanarrasul dan satu ayat lain yang terakhir. Alhamdulillah saya berjaya, tapi tidak lama kemudian, gangguan itu datang kembali. Sekali lagi saya bacakan ayat-ayat tertentu dan hembuskan ke arahnya. Untuk sementara waktu, ia lari meninggalkan saya.

Rupa-rupanya gangguan itu cumalah permulaan. Semakin larut malam, tindakannya semakin agresif. Apabila saya mula hendak melelapkan mata, ia kembali semula dan mencucuk tubuh saya. Saya tersentak dan tidak jadi tidur. Saya lihat sekeliling, tapi tiada apa yang saya nampak kecuali gelap. Saya baca ayat-ayat tertentu dan gangguan itu berhenti seketika.

Memikirkan gangguan itu sudah berakhir, saya cuba melelapkan mata. Namun apabila saya hampir terlena, ia datang semula dan mencucuk pusat saya. Sekali lagi tersentak. Begitulah yang berlaku seterusnya. Punggung dan badan saya dicucuk apabila hendak melelapkan mata. Setelah hampir sejam diganggu, akhirnya gangguan itu terus berhenti. Saya tidur tanpa sebarang gangguan lagi.

Alhamdulillah, itulah sekali saya diganggu oleh syaitan daripada mayat berkenaan.

Telahan saya bahawa gangguan tersebut berpunca daripada mayat yang saya uruskan pada siang harinya memang berasas. Sebabnya ialah tidak berapa lama kemudian saya mendapat berita bahawa penggali kubur itu telah sakit selama sebulan. Sejak mengebumikan mayat tersebut, hidup penggali kubur itu mula tidak tenteram kerana diekori oleh ‘mayat’ berkenaan. Apabila dia masuk saja ke pejabat, dilihatnya mayat itu berada di dalam pejabatnya. Apabila dia masuk bilik mandi, di situ juga ada mayat.

Pendeknya ke mana sahaja dia pergi, di bilik tidur, di ruang tamu, di bawah pokok atau di mana sekalipun, pasti dia akan ternampak mayat itu. Akibatnya dia sakit selama sebulan dan meracau yang bukan-bukan. Selepas puas berubat, akhirnya dia sembuh seperti sedia kala.

Mungkin ada yang mengatakan cerita saya ini karut, atau sengaja direka, tapi percayalah, ia memang benar-benar terjadi. Bagaimanapun, alhamdulillah, kejadian itu memberi iktibar yang besar kepada saya.

Dari segi syarak, gangguan yang kami alami itu dilakukan oleh iblis menyerupai mayat untuk menakutkan kita supaya kita berhenti daripada menguruskan jenazah. Gangguan seperti ini jangan dilayan kerana menguruskan jenazah adalah ibadah.

Saya yakin gangguan yang kami lalui berpunca daripada ilmu hitam yang diamalkan oleh lelaki tersebut. Menurut pendapat sesetengah orang, gangguan seperti itu berlaku kerana lelaki berkenaan membela jin dan syaitan untuk dijadikan khadam melindunginya.

Bagi yang menuntut ilmu kebal, salah satu cara untuk membunuhnya ialah dengan membuang separuh mayatnya ke dalam sungai atau laut dan separuh lagi dibuang di darat. Itulah syaratnya kerana kalau kedua-dua bahagian tubuh itu dibuang di darat, atau kedua-duanya dibuang ke dalam air, ia akan bercantum dan mayat tersebut akan hidup semula. Itulah cerita yang saya dengar, betul atau tidak wallahuaklam.

Nasihat saya, janganlah dituntut ilmu yang bukan-bukan, yang bersahabat dengan syaitan. Dalam syarak, apa ilmu kita tuntut pun kita tak boleh kebal. Malah nabi yang hafaz al-Quran, rasul, tapi dia juga cedera semasa perang. Sebenarnya kita bukannya kebal, tapi dilindungi oleh jin.

Ingatlah, jika kita berkehendakkan sesuatu, bermohonlah kepada Allah. Janganlah salah guna ayat al-Quran. Dan apabila berdoa, jangan berwasilahkan kepada yang lain daripada nabi.

Kredit to:  Kisah seram

Akan aku kumpul banyak lagi kisah2 seram untuk naikkan adrenalin ketakutan anda..:)

Perisa tambahan:




6 ulasan:

syrupmasin berkata...

haha..naseb bace malam sabtu :D

Aisyah Aina berkata...

hish..takut!
kena layan ML la lepas ni bagi hilang rasa takut..hehe

Freaky berkata...

wahaha nape terlewat post ni ? ni kan malam sabtu

Anak Wak Mail berkata...

selalunya kalau rumah tu murah,, tak ada orang nak duduk..rumah tu pon ada sesuatu jugak orang kata..wallahua'lam..=)

cucu umie berkata...

ayie bace pagi ini jeah dlm plkol 8am..hoho sekrng kt umah sorng2..hahaah

ghost writer berkata...

nih yang tak syok baca lewat-lewat malam macam nih dalam gelap pulak tuh...